HisTOrY LemaNG>

                                                 

Lemang bukan sekadar makanan. Bagi saya, lemang bertindak lebih daripada itu. Lemang adalah silaturrahim, kesabaran, kasih sayang dan juga kemahiran. Beras pulut, santan, daun pisang adalah rencah yang mengauli semua itu.
Lupakan tentang kata-kata yang mengatakan lemang mengundang banyak kalestrol. Banyak lagi makanan yang bersifat begitu. Mengapa terlalu pilih kasih?
Membuat lemang bukannya senang. Lemang memerlukan kemahiran. Memasukkan daun pisang, mencari buluh lemang yang terbaik, menyukat santan, dan menjaga api bukan sesenang menjamah lemang. Semua itu perlu kemahiran.
Lemang juga tanda kasih sayang. Bagi orang tua di kampung, mereka yang tahu membuat lemang pasti tidak akan lupa untuk membuatnya. “Untuk anak cucu,” kata mereka. Walaupun anak cucu tidak seghairah mana menikmati lemang, namun mereka membuatnya demi mencetuskan meriahnya suasana hari raya.
Lemang dibuat secara berkeluarga lebih meriah. Berpakat ramai-ramai membuatnya dari mula sampai akhir. Berpanas menjaga api sampai mengalirkan air mata. Kecur air liur menggugat perut yang berpuasa apabila melihat lemang memuntahkan sisa santan dan berbau yang memanggil-manggil untuk dijamah. Kemudian, berbual kosong bercerita tentang baju raya dan kuih muih yang belum siap. Semua itu sangat indah, perencah hari raya.
Mungkinkah tradisi membuat lemang ini akan terhapus?
Saya menyatakan ianya mungkin terjadi. Dari hari ke hari, kemahiran membuat lemang semakin terhapus. Ramai yang tidak mewarisi kemahiran membuat lemang. Tambahan pula berlaku kenaikan kos bahan-bahan mentah. Harga santan melonjak tinggi. Beras pulut berharga mahal. Malah, buluh lemang sukar dicari lagi. Buluh lemang yang dijual boleh mencecah dua ringgit atau lebih untuk sebatang. Oleh itu tidak hairanlah, harga sebatang lemang boleh mencecah RM14 atau lebih untuk sebatang.
Sekiranya kalian menyelusuri jalan raya saat sehari atau dua hari sebelum raya, kalian akan lihat ramai yang menjual lemang. Bermacam-macam nama lemang dipamerkan. Lemang Power, Lemang Pak Wahid, Lemang Asli, Lemang Panas dan macam-macam lagi nama lemang yang kadang kala mencetuskan geli hati. Padahal, lemang adalah lemang. Walau apapun namanya, lemang hanya sedap sekiranya cukup ramuan. Bukan bersandarkan pada namanya sahaja.
Menyentuh tentang lemang, saya sendiri sanggup memandu berkilometer jauhnya semata-mata untuk memenuhi hasrat emak yang membakar lemang khas untuk saya dan keluarga mentua. Pada saya lemang bukan sekadar lemang. Lemang adalah tanda kasih sayang dan silaturrahim.
Suatu hari nanti, apakah akan terhapus tradisi membuat lemang ini? Apakah suatu hari nanti saya hanya akan membeli lemang berbagai nama yang dijual di tepi jalan, kerana saya sendiri gagal untuk mewarisi kemahiran membuat dan membakar lemang.

Memikirkan masa hadapan, kadang kala kita mula sedar tiada lagi budaya dan meriahnya raya.

No comments:

Post a Comment